AGIHAN PENDAPATAN ASN 6.00 SEN SEUNIT UNTUK ASN
28 Disember 2010
KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit bagi Sekim Amanah Saham Nasional untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.80 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 5.20 sen seunit tahun lalu.
Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM89.88 juta, berbanding RM81.52 juta yang dibayar pada tahun kewangan 2009.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid berkata prestasi ASN sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2010, secara keseluruhannya adalah lebih baik berbanding dengan tahun lalu selaras dengan prestasi memberangsangkan ekonomi negara dan pasaran saham di mana indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 18.8% daripada 1,272.78 mata yang dicatatkan pada 31 Disember, 2009 kepada 1,511.58 mata yang dicatatkan pada 24 Disember, 2010.
Dalam tempoh kewangan yang sama, ASN telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM112.02 juta. Keuntungan daripada jualan saham menyumbang sebanyak RM63.07 juta atau 56.30%, diikuti oleh pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan sebanyak RM39.18 juta atau 34.98%. Selebihnya, RM9.77 juta atau 8.72% adalah daripada lain-lain pelaburan.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASN adalah berdasarkan pegangan unit pada 31 Disember 2010, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN.
Pembayaran pengagihan pendapatan ASN akan dilaburkan secara automatik dan dikreditkan di dalam buku pelaburan pemegang unit, berdasarkan nilai aset bersih ASN pada 31 Disember, 2010.
Pembayaran ini dijangka akan dimanfaatkan oleh seramai 1.18 juta pemegang juta pemegang unit yang melanggan 1.5 bilion unit ASN.
Semua urus niaga bagi ASN di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 27 Disember, 2010, sehingga 2 Januari, 2011. Penangguhan urus niaga ini adalah bertujuan untuk pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun 2010.
Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN masing-masing di pejabat-pejabat ASNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara, mulai 3 Januari, 2011.
ASN merupakan dana pertumbuhan harga berubah-ubah yang dilancarkan pada 20 April, 1981. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pengagihan pendapatan dan peningkatan modal yang berpatutan, melalui pelaburan di dalam portfolio yang dipelbagaikan.
Perbandingan prestasi ASN dari segi jumlah pulangan keseluruhan (’’total return”) dan hasil pendapatan ("yield") boleh dilakukan dengan instrumen-instrumen yang mempunyai ciri-ciri dan tahap risiko yang hampir serupa dengan tabung ASN.